Jumaat, 21 Ogos 2009

Sawan Demam...

Semalam, balik dari kerja, aku meluangkan masa bersembang dengan jiran ku... aku jarang2 berbual, bersembang dengan jiran tetangga..... tapi, semalam, aku sengaja menegur jiran ku, yg kebetulan masih di dlm pantang melahirkan anak yg ke 6... dlm hati, boleh ziarah baby dia sekali... kebetulan, baby nya tengah menyusu di dpn pagar rumah....

Di dlm perbualan kami, aku ada menanyakan ahad lepas, kenapa ada rumah jiran kami di datangi ramai org... pada hari berkenaan, aku tidak pasti kenapa.... sebab masa tu, aku demam dan anak ku demam.... aku tidak keluar rumah... jiran ku mengatakan anak pada jiran kami itu meninggal dunia di usia 1 tahun 4 bulan... disebabkan SAWAN DEMAM...

Berdasarkan maklumat diceritakan kepada aku, arwah sudah demam 3 hari.... selama ini, diberi rawatan di klinik swasta biasa.... hari ke 3, suhu badan arwah masih tidak susut.... doktor di klinik swasta mengarahkan ibu bapa arwah ke hospital kerajaan..... tapi, Tuhan lebih menyayangi arwah... arwah meninggal dunia di dlm perjalanan ke hospital..... innalillahiwainnaillaihirojiun... moga2 anak kecil itu tenang di SANA.....

*********************************************
Mengenai SAWAN DEMAM yg aku petik dari http://drazwan.blogspot.com/


Apa itu Sawan Demam atau Febrile Fits?

Secara definisinya ialah sawan yang belaku akibat demam. Ia boleh terjadi kepada kanak-kanak di dalam lingkungan usia 3 bulan sehingga 6 tahun.

Diagnosis sawan demam diberi sekiranya tiada bukti bahawa terdapat masalah di dalam otak ataupun masalah metabolik di dalam darah yang boleh menyebabkan masalah sawan berlaku.

Secara mudah, ini bermakna, sawan demam didiagnos apabila masalah-masalah di dalam otak seperti jangkitan atau masalah di darah seperti kekurangan garam tertentu telah diambil kira.

Sekiranya sawan berlaku sebelum umur 3 bulan atau berlanjutan selepas 6 tahun, maka ia bukan dikira sawan demam. Apabila demam menjadi terlalu tinggi, ini akan mengganggu aktiviti otak dan menyebabkan sawan berlaku.

Sawan bermaksud keadaan di mana kanak-kanak itu akan tidak sedarkan diri, mengalami kekejangan badan dan kaki, mata hitam akan memandang ke atas (uprolling of eyeballs) , air liur meleleh (drooling of saliva), dan pada tahap tertentu boleh termuntah, terkencing atau terbuang air besar.

Jenis Sawan Demam

1. Sawan Demam Biasa (Simple Febrile Fits) - Sawan demam biasa adalah singkat, hanya satu episod sawan sahaja setiap kali demam dan terjadi kurang daripada 15 minit. Manakala Sawan Demam kompleks adalah

2. Sawan Demam Kompleks (Complex Febrile Fits) - berpanjangan, lebih daripada 15 minit dan terjadi berulang-ulang di dalam satu episod demam.

Adakah Sawan Demam Boleh Berulang-Ulang ?

Ya, sawan demam boleh terjadi berulang-ulang. Untuk anak anda yang baru pertama kali terkena sawan demam atau sering terkena sawan tetapi tidak pernah diperiksa adalah lebih baik sekiranya anak anda di bawa ke Hospital kerana beberapa pemeriksaan dan pemerhatian perlu dilakukan.

Risiko sawan yang berulang-ulang boleh berlaku sekiranya :-

1. Sawan pada umur di bawah 15 bulan
2. Saudara terdekat spt adik beradik, ibu atau ayah yang mempunyai penyakit epilepsi
3. Saudara terdekat spt adik beradik, ibu atau ayah yang pernah kena sawan demam dahulu
4. Terkena sawan demam dengan suhu di bawah 40 darjah celcius
5. Jarak masa demam dan terkena sawan demam adalah singkat

Ini semua adalah faktor risiko dan mereka yang mempunyai satu atau dua faktor risiko di atas akan kemungkinan mengalami 10% (1 di dalam 10) kes sawan yang berulang. Tetapi, satu kajian menunjukkan sekiranya semua risiko di atas ada, maka risiko sawan berulang adalah 100%.

Apakah Masalah Yang Akan Berlaku Kepada Anak Yang Demam Sawan?

Mengikut 2 kajian, mereka yang terkena demam sawan tidak akan mengalami masalah apa-apa dan akan membesar seperti kanak-kanak normal. Di dalam satu kajian di antara sawan demam biasa dan sawan demam kompleks, mereka yang mengalami sawan demam biasa dan sawan demam kompleks juga tidak menunjukkan apa-apa perbezaan di dalam pembelajaran.

Malah, ada satu kajian yang menyatakan mereka yang mengalami kes demam sawan mempunyai akademik yang lebih cemerlang daripada kanak-kanak yang normal !! Huuhh!.. Ayat kontroversi nih... nanti ramai pulak mak ayah kat Malaysia yang nak anak mereka sawan demam...

Adakah Anak Anda Perlu Masuk ke Wad?

Mengapa anak anda harus ke Hospital?
Ini adalah kerana supaya doktor dapat memeriksa dan memastikan bahawa anak anda tidak menghidap MENINGITIS atau jangkitan selaput otak.Ini adalah kerana 17% kes demam sawan adalah positif untuk MENINGITIS dan perlu diingatkan MENINGITIS boleh membawa maut dan menyebabkan kecacatan kekal otak, tubuh dan lumpuh.

Pada kebiasaannya, kanak-kanak yang terkena sawan demam akan bangun dari sawan dan bermain seperti biasa, berlari dan tidak menunjukkan tanda-tanda seperti lesu atau lemah. Mereka tidak perlu bermalam ke dalam wad. Cukup sekadar pemerhatian di wad pemerhatian selama 6 jam sahaja.Sedangkan MENINGITIS, anak anda akan demam berpanjangan, lemah, muntah, menangis tak henti-henti dan di dalam kesakitan. Di dalam kes ini pemeriksaan yang lebih terperinci perlu dilakukan dan anak anda akan ditahan di wad.

Apa Yang Perlu Anda Lakukan Ketika Anak Anda Mengalami Sawan Demam?


Sebelum Sawan

1. Ibu bapa boleh mengawal sawan demam dengan mengawal demam mereka. Ini adalah berkesan dengan cara mengelap anak yang demam dengan tuala yang basah daripada air paip atau air yang suam sedikit (jangan gunakan ais kerana ia boleh menyebab hypothermia).

2. Beri anak minum ubat seperti sirap paracetamol atau sirap neurofen (brufen)

3. Boleh beri satu suppository voren 12.5mg (anak kecil) atau 25 mg (3 tahun ke atas) ke dalam punggung untuk mengurangkan demam (ambil salah satu samada melalui mulut atau punggung).

4. Jangan pakaikan anak dengan pakaian yang tebal. Pakaian tebal boleh menaikkan lagi suhu. Buka pakaian anak dan letak di bawah kipas. Lap dengan air paip ke seluruh badan.

Ketika Sawan

1. Jangan Panik. Cuba lihat jam pukul berapa ia berlaku dan pukul berapa ia tamat. Ini adalah kerana doktor perlu tahu berapa lama sawan itu berlaku.

2. Longgarkan segala pakaian.

3. Jangan ambil sudu atau bahan-bahan keras dan meletakkannya di dalam mulut. Ini boleh menyebabkan luka yang teruk di dalam mulut. Ia juga boleh menyebabkan tercekik objek asing sekiranya patah.

4. Jangan beri minum air atau ubat ketika anak sawan.

5. Lap apa-apa yang lendiran atau air liur yang keluar dari mulut.

6. Duduk bersama anak anda sehingga sawan tamat.

Setelah Sawan

1. Baringkan anak anda mengiring ke kiri. Ini akan mengelakkan daripada muntah atau lendiran masuk ke dalam paru-paru.

2. Jangan beri anak anda minum ubat atau air, atau makan sekiranya anda tidak pasti anak anda telah sedar sepenuhnya.

3. Bawa ke klinik atau hospital. Biasanya doktor akan masukkan rectal diazepam 5 -10 mg untuk mengelakkan terjadinya sawan demam daripada berulang atau sawan yang berpanjangan.

4. Masuk ke wad sekiranya perlu.





Tiada ulasan:

Biz partner diperlukan... PROJEK ISTIMEWA STG... Produk, Ilmu MMR, FB Genius dll... HUBUNGI SAYA 011-286 31380... atau email: atiegurlz@gmail.com