Ramai orang yang bekerja atau mereka yang baru menceburi
bidang perniagaan yang bertanya saya tentang bagaimana untuk memulakan
perniagaan mereka. Tetapi, ramai mereka ini yang ingin berniaga apabila ditanya
kenapa mereka mahu berniaga, rata-ratanya akan menjawab "Sebab ingin
kaya!" atau "Ingin banyak duit!". Tetapi berdasarkan pengalaman
serta kajian saya sendiri, saya mendapati hampir 90% yang baru berniaga, mereka
bukan sahaja tidak buat banyak duit, tetapi akhirnya mereka bukan sahaja
"tutup kedai" atau gagal serta mengalami kerugian atau menanggung
hutang.
Saya bukan berniat menakut-nakutkan anda, tetapi itulah
hakikat mereka yang mula berniaga tanpa prinsip M.E.S.T.I (M=Mentor, E=Elmu,
S=Sistem/Strategi yang betul, T=Tindakan yang betul & I=Impian yang jelas).
Ramai yang ghairah melihat orang lain berniaga dan berjaya merubah hidup
mereka, tetapi ramai yang tidak sedar bahawa mereka sebenarnya tidak ada ilmu
berniaga atau mereka tidak ada mentor yang terbukti berjaya yang mereka boleh
pelajari daripadanya dan mereka lebih rela "melanggar dinding"
menghabiskan duit, buang masa dan tenaga "mencuba nasib" di dalam
perniagaan baru yang mereka ingin mulakan.
Tahukah anda bahawa ada 9 formula atau langkah yang anda
perlu lakukan untuk anda meningkatkan peluang kejayaan di dalam sesebuah
perniagaan apatah lagi jika ianya akan menjadi perniagaan baru anda?
PERTAMA: Matlamat Perniagaan & Peribadi Yang Jelas
Sebelum anda mula berniaga, anda perlu jelas dengan apakah
sebab utama anda ingin memulakan perniagaan tersebut? Kenapa anda ingin
berniaga? Apakah yang anda inginkan daripada perniagaan tersebut? Apakah
matlamat peribadi yang anda ingin capai dengan menggunakan perniagaan tersebut
sebagai alat? Apakah impian anda? Adakah anda lakukannya untuk orang-orang yang
anda sayangi?
Kebanyakan mereka yang berjaya di dalam perniagaan adalah
mereka yang pada asalnya mempunyai matlamat yang jelas tentang kenapa mereka
mahu mulakan perniagaan tersebut. Dan ramai juga yang bermula dengan tidak
menyangka yang ianya akan menjadi perniagaan yang berjaya tetapi mereka
mempunyai matlamat peribadi pada asalnya yang mereka ingin capai.
Contohnya,
Warren Buffet, salah seorang billionnaire dunia, lebih 35 tahun dahulu beliau
bermula hanya daripada minat beliau terhadap produk-produk baru yang ada
dipasaran dan menyebabkan beliau suka untuk membeli saham-saham yang ditawarkan
oleh syarikat pengeluar produk-produk tersebut dan akhirnya semua saham yang
beliau beli meningkat beratus ribu kali ganda berpuluh tahun kemudian.
Mark
Zuckerberg bermula dengan matlamat peribadi untuk mengenali ramai gadis-gadis
di universitnya dan akhirnya terciptalah satu sistem internet yang dipanggil
"Facebook". Ada sesetengah jutawan peserta program saya yang bermula
daripada tanpa wang atau sedikit wang di dalam poket mereka tetapi disebabkan
mereka bermatlamat untuk memberikan kehidupan yang lebih baik kepada orang yang
mereka sayangi, maka mereka mulakan perniagaan tersebut.
Kenapa matlamat yang jelas ini penting? Selain daripada
ianya dapat membantu anda untuk mempunyai fokus yang anda ingin capai, ianya
adalah lebih penting dikala anda berdepan dengan cabaran ataupun halangan di
dalam perniagaan anda supaya anda akan sentiasa ingat, kenapa anda mulakan
perniagaan tersebut dan untuk apa atau untuk siapa serta kenapa anda perlu buat
sehingga berjaya.
Tuliskan dengan jelas apakah matlamat yang anda ingin capai
serta tarikh ataupun tempoh bila anda mahu merealisasikan matlamat tersebut.
KEDUA: Kenalpasti apakah masalah yang boleh diselesaikan
dengan menggunakan produk atau perkhidmatan berkualiti tinggi yang bakal anda
berikan?
Ya. Ini adalah sebab kenapa ramai usahawan terutamanya
usahawan baru gagal memasarkan produk atau perkhidmatan mereka dengan berkesan.
Ramai usahawan yang saya jumpa bila ditanya, apakah masalah kritikal yang
dihadapi oleh ramai orang yang menyebabkan mereka sangat memerlukan produk atau
perkhidmatan anda? Ramai usahawan ini tidak mampu menjawabnya atau mereka
menjawab tanpa keyakinan yang tinggi sehingga mereka tidak mampu meyakinkan
saya sebagai pelanggan untuk menggunakan produk mereka, sedangkan produk mereka
sebenarnya berkualiti tinggi.
Sebab itu amatlah penting untuk anda mengenalpasti sebanyak
mungkin masalah yang boleh diselesaikan lantaran menggunakan produk atau
perkhidmatan yang anda berikan. Contoh, sekiranya anda menjual karipap panas
berintikan daging serta kentang diwaktu petang dan ianya memang sangat sedap.
Masalah yang anda boleh selesaikan ialah anda menyelesaikan masalah mereka yang
ingin minum petang berbekalkan karipap panas dikawasan-kawasan pejabat bukan?
Anda juga menyelesaikan masalah isteri-isteri yang ingin menghidangkan karipap
panas sedap untuk anak-anak mereka serta keluarga diwaktu petang
dikawasan-kawasan perumahan. Anda juga menyelesaikan masalah mereka yang rindu
karipap panas masakan ibu mereka dikampung.
Lebih banyak masalah yang anda boleh kenalpasti yang bakal
anda dapat selesaikan dengan produk atau perkhidmatan anda, maka lebih mudah
anda akan dapat pasarkannya serta lebih yakin orang dengan anda.
KETIGA: "Bootstrap"
Ramai orang yang beranggapan bahawa untuk berniaga, anda
perlukan modal wang permulaan yang besar. Terus-terang saya katakan bahawa anda
tidak semestinya bermula dengan modal yang besar, malah ramai peserta
program-program keusahawanan saya yang memulakan perniagaan mereka secara
kecil-kecilan dengan tanpa modal atau dengan modal yang paling minima terlebih
dahulu sehingga mereka benar-benar yakin untuk membesarkannya.
Teknik memulakan
perniagaan tanpa modal ini dipanggil sebagai "Bootstrap". Anda
mulakan dengan apa sahaja yang anda ada. Anda gunakan apa sahaja bakat, minat
atau kemahiran yang anda ada untuk ditawarkan kepada mereka yang perlukannya.
Atau ramai yang bermula dengan menjual produk atau perkhidmatan orang lain
terlebih dahulu. untuk menimba pengalaman serta mengumpulkan modal.
Teori kisah
Mat Jenin adalah sangat berguna untuk diambil iktibar. Mulakan dengan mengambil
upah panjat kelapa, kemudian duit upah itu digunakan untuk membeli ayam, bila
ayam bertelur, jual telurnya dipasar, kemudian kumpul duitnya sehingga cukup
beli kambing, selepas bela kambing, jual susunya dan kemudian jual kambing
sehingga dapat beli lembu, apabila telah mempunyai lembu, perah susunya dan
jual sehinggalah satu hari nanti lembu semuanya boleh dijual dan Mat Jenin menjadi
kaya....
Masalah yang ada dalam kisah Mat Jenin adalah, ianya adalah
angan-angan sahaja tanpa tindakan.
Tetapi, kita boleh ambil iktibar kaedah
"Bootstrap" yang digunakan serta kesabaran juga amat penting selain
daripada sentiasa bersedia untuk memperbaiki diri.
KEEMPAT: Test, Trial & Adjust (Dare to Explore)
Sekiranya anda ingin berniaga serta memasarkan produk baru
dipasaran ataupun anda ingin memasarkan perkhidmatan yang terbaru. Anda perlu
"menguji" permintaan dipasaran dengan menjalankan percubaan serta
ujian demi ujian dan bersedia mengubahsuai produk atau pekhidmatan anda
sehingga ianya benar-benar mudah diterima oleh pasaran. Tidak ada produk yang
baru dijual yang tidak diuji terlebih dahulu serta dibuat kajian pasaran.
Contohnya karipap berinti daging dan kentang yang ingin kita pasarkan, ianya
perlulah diberi makan kepada beberapa orang dalam tempoh sesuatu masa dan
mendapatkan maklumbalas jujur mereka agar anda dapat mengubahsuai rasanya atau
bentuknya sehingga anda benar-benar puashati sebelum anda jual dipasaran.
KELIMA: Mengembangkan perniagaan menggunakan keuntungan
daripada perniagaan anda bukan dengan pinjaman
Formula ini amat kritikal di dalam perniagaan, apatah lagi
jika ianya adalah perniagaan baru. Hanya perniagaan yang untung ketika kecil
yang akan untung bila ianya besar nanti. Konsistensi di dalam keuntungan akan
membuatkan perniagaan anda mempunyai potensi aliran tunai yang bagus.
Perancangan kewangan serta menyimpan sebanyak mungkin keuntungan secara konsisten akan membuatkan anda dapat mengembangkan lagi perniagaan anda tanpa anda perlu meminjam.
Contohnya, anda telah memulakan perniagaan karipap anda ini secara kecil-kecilan dengan satu tapak. Dan tapak ini boleh berikan anda keuntungan bersih RM100 sehari.
Apabila anda kumpulkan sebahagian duit keuntungan ini, maka ianya memungkinkan anda untuk membuka tapak yang kedua, ketiga, keempat dan tapak-tapak berikutnya dengan mudah tanpa pinjaman.
Bayangkan jika dalam tempoh tertentu anda dapat mengembangkan tapak perniagaan anda kepada 10 tapak, maka ini bermakna anda boleh mendapatkan keuntungan bersih RM1,000 sehari melalui perniagaan karipap panas anda tersebut. Anda tidak perlu meminjam untuk mengembangkan perniagaan anda.
Perancangan kewangan serta menyimpan sebanyak mungkin keuntungan secara konsisten akan membuatkan anda dapat mengembangkan lagi perniagaan anda tanpa anda perlu meminjam.
Contohnya, anda telah memulakan perniagaan karipap anda ini secara kecil-kecilan dengan satu tapak. Dan tapak ini boleh berikan anda keuntungan bersih RM100 sehari.
Apabila anda kumpulkan sebahagian duit keuntungan ini, maka ianya memungkinkan anda untuk membuka tapak yang kedua, ketiga, keempat dan tapak-tapak berikutnya dengan mudah tanpa pinjaman.
Bayangkan jika dalam tempoh tertentu anda dapat mengembangkan tapak perniagaan anda kepada 10 tapak, maka ini bermakna anda boleh mendapatkan keuntungan bersih RM1,000 sehari melalui perniagaan karipap panas anda tersebut. Anda tidak perlu meminjam untuk mengembangkan perniagaan anda.
KEENAM: Pilih "tentera" anda dengan teliti dan
betul
Maksud "tentera" di sini adalah pekerja.Tidak ada
orang yang akan mampu melakukan semua perkara berseorangan. Usahawan yang bijak
adalah usahawan yang pandai memilih pekerja yang bagus untuk membantu kejayaan
perniagaannya. Dalam hal ini, anda perlu belajar bagaimana memilih pekerja
mengikut kriteria yang anda tentukan. Anda perlu tuliskan "pekerja
impian" yang anda mahukan sebagai satu garis panduan anda di dalam
memilihnya nanti.
KETUJUH: Mendapatkan fasiliti kewangan berdasarkan aliran
tunai perniagaan anda yang positif
Setelah anda berniaga di dalam satu tempoh waktu dan anda
berjaya konsisten di dalam keuntungan serta aliran tunai anda menunjukkan
peningkatan yang konsisten serta positif, anda akan meletakkan diri anda serta
perniagaan anda di dalam kategori usahawan yang mempunyai kredibiliti untuk
diberikan pinjaman.
Walaupun adalah bagus jika anda boleh mengembangkan
perniagaan anda tanpa membuat sebarang pinjaman bank tetapi sekiranya aliran
tunai anda adalah positif dan bagus, anda mungkin layak untuk mendapatkan
fasilit atau pinjaman bank.
Sebab itu amat penting untuk mempunyai disiplin
dengan memasukkan duit jualan anda ke dalam satu akaun anda atau akaun
perniagaan anda supaya ianya menunjukkan aliran tunai yang bagus dan konsisten.
Kesilapan ramai usahawan baru dan kadang-kadang yang lama adalah mereka tidak
memasukkan duit jualan mereka ke dalam akaun bank mereka terus, malah mereka
terus ambil duit tersebut untuk beli stok atau sebagai modal pusingan.
Ini
merupakan kesilapan yang paling besar. Sekiranya satu hari nanti anda perlukan
fasiliti kewangan daripada pihak bank, mereka tidak berapa berminat dengan
"kisah" jualan perniagaan anda yang tinggi tanpa mereka dapat
melihatnya masuk ke dalam akaun bank anda. Fasiliti kewangan atau pinjaman bank
akan lebih mudah anda dapat sekiranya anda boleh menunjukkan aliran tunai yang
konsisten, positif dan bagus masuk ke dalam penyata akaun bank anda.
KELAPAN: Mulakan dengan berniaga secara sampingan
Ya benar! Sekiranya anda masih bekerja, saya mencadangkan
agar anda mulakan perniagaan anda secara sampingan. Saya mempunyai peserta
seminar saya yang suaminya masih bekerja sebagai seorang jurutera dan isterinya
seorang pembantu perubatan, tetapi mereka juga memiliki sebuah perniagaan butik
pakaian kanak-kanak dan bayi di sebuah pasaraya yang mereka jalankan secara
sampingan.
Saya juga mempunyai beberapa orang lain yang masih bekerja tetapi
mengambil tempahan membuat kek dirumah setelah habis waktu kerja mereka. Anda
hanya akan berhenti kerja apabila anda sendiri benar-benar yakin dengan
perniagaan yang anda lakukan dan anda telah bersedia memberikan lebih banyak
masa untuk pulangan yang lebih daripada masa yang anda gunakan untuk bekerja.
KESEMBILAN: Kuasai pemasaran- Sentiasa bersedia untuk
"kembali ke sekolah"
Kunci utama kepada kejayaan sesebuah perniagaan juga sudah
pastinya bergantung kepada konsistensi pelanggan yang membeli daripada anda
bukan? Jika produk makanan yang anda buat adalah sangat sedap tetapi jika tidak
ada yang tahu serta mahu membelinya, maka anda mungkin terpaksa makan sendiri
produk-produk tersebut. Ramai usahawan baru dan lama yang tidak sedar betapa
pentingnya ilmu pemasaran supaya anda sentiasa menarik ramai pelanggan agar
jualan anda serta keuntungan anda sentiasa tinggi.
Ramai jug yang tidak tahu
bagaimana untuk menjalankan strategi pemasaran yang mudah dan berkesan untuk
perniagaan mereka. Sebagai usahawan, produk atau perkhidmatan anda pasti akan
gagal jika ianya tidak dipasarkan dengan betul dan di sinilah pentingnya untuk
anda bersedia "kembali ke sekolah", kembali meningkatkan ilmu pemasaran
anda dengan belajar melalui buku-buku ataupun menghadiri seminar-seminar
keusahawan atau pemasaran agar perniagaan anda tidak ketinggalan.
Anda pasti
hampir gagal jika pesaing anda mempunyai ilmu pemasaran yang lebih hebat
daripada anda walaupun mungkin produk atau perkhidmatan mereka tidaklah sehebat
produk anda!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan